Tuesday, September 1, 2009

Info Solat Jama' dan Qasar

Disini ada beberapa panduan, syarat dan hukum hakam solat bagi orang musafir.

Apabila seseorang itu bermusafir lebih dari dua marhalah, maka ia harus melakukan solat qasar dan jama' sekali. Ertinya, ia boleh menjama'kan di antara dua solat serta mengqasarkannya sekali. Walaubagaimanapun, ia boleh melakukan di antara satu yang berikut:Menjama'kan dua solat fardhu tanpa qasar. Menjama'kan dua solat fardhu dan qasar.

Mengqasarkan solat tanpa jama', iaitu, mengerjakan solat zuhur, asar, isya' dengan dua rakaat yang berasingan. Solat jama' dan qasar ini adalah suatu keringanan yang diberi oleh Allah kepada hambaNya dalam segenap masa bagi orang musafir, senang atau susah asalkan melebihi dua marhalah. Permulaan musafir ini dikira setelah kita keluar kawasan, sama ada melalui sungai, parit, kota sempadan atau kawasan yang sudah tidak ada bangunan lagi. Akhirnya musafir ialah apabila kita memasuki kawasan permulaan musafir tadi.

Solat jama' dan qasar boleh dilakukan apabila perjalanan seorang musafir tidak kurang dari 60 batu atau 100 km walaupun ada khilaf ulama dalam penentuan jarak jauhnya. Jadi, untuk berhati-hai, eloklah dikira dari 60 batu.

Di antara dua solat jama' tidak boleh dipisahkan dengan jarak yang sangat lama. Oleh itu, selepas sahaja salam, teruskan sahaja solat yang kedua dengan hanya diselangi oleh iqamat sahaja. (Solat jama' dengan satu kali azan dan dua kali iqamat). Orang yang melakukan solat qasar tidak boleh berimamkan orang yang bersolat sempurna (tamam). Apabila seseorangitu sudah sampai ke kawasan permulaan ia bertolak tadi, maka selesailah solat jama' dan qasarnya. Ertinya ia tidak boleh lagi mengerjakan solat secara qasar dan jama'. Apabila seseorang itu bermusafir dan berhenti pada satu tempat selama 4 hari atau lebih, maka putuslah qasarnya. Tapi, sekiranya ia hendak berhenti di situ selama tiga hari, maka bolehlah solat jama' dan qasar. (Tiga hari itu tidak termasuk hari sampai dan hari keluar). Seseorang itu berhenti di suatu tempat dengan niat akan berada di situ selama tiga hari, tapi kerana urusan tidak selesai dari sehari ke sehari, maka ia diharuskan jama' dan qasar sehingga 18 hari. Seseorang itu tidak diharuskan solat jama' dan qasar jika bermusafir kerana sesuatu maksiat.

Bagi mereka yang hendak mengerjakan solat jama' ta'khir hendaklah berniat lebih awal; jangan sampai di akhir waktu baru berniat.Perjalanan seseorang musafir hendaklah tentu dan ia tahu ke mana arah tujuannya. Jika ia tidak tahu ke mana hendak diarahkan perjalanannya itu, maka tidak boleh jama'/qasar.Kemudahan solat jama' (jama' sahaja) juga diberikan kepada ahli karyah yang ingin mengerjakan solat berjamaah apabila hujan lebat. Kampung itu pula merupakan satu kawasan yang biasanya lecah dan becak dengan syarat ada hujan pada awal kedua-dua solat (zuhur dan asar atau maghrib dan isya') dan di antara keduanya dan pada salam solat pertama. Tidak mengapa kalau sekiranya hujan itu berhenti di pertengahan solat pertama atau di pertengahan solat yang kedua.

No comments:

Post a Comment